Disediakan oleh Muhammad Daniel Kittu
28 March 2025

Adakah Malaysia Bersedia Meningkatkan Kadar Cukai Tembakau?
Kurangkan Perokok dengan Meningkat Kadar Cukai Tembakau: Adakah ianya Satu Langkah yang Bijak?
RM 19.4 Juta Rokok Haram Dirampas pada 2025 - Adakah Malaysia Bersedia Kurangkan Perokok dengan Meningkat Kadar Cukai Tembakau?
Sejak awal tahun ini, pihak berkuasa Malaysia telah mencuri tumpuan dengan kejayaan merampas tembakau haram bernilai RM 6.8 juta dan RM 12.6 juta pada akhir Mac. Usaha rangkaian kerjasama pihak penguatkuasa ini wajar dipuji dan tentu sekali memberi impak yang besar terhadap usaha kerajaan dalam mengawal penggunaan rokok sekali gus kesan negatif terhadap kesihatan awam.
Walau bagaimanapun, masih ada ruang penambahbaikan dalam usaha memerangi merokok dan masih kurang dimanfaatkan iaitu kadar cukai rokok yang lebih tinggi.
Sejak cukai tembakau dinaikkan pada 2015, rokok menjadi lebih mampu dimiliki ekoran pertumbuhan KDNK per kapita meningkat lebih cepat berbanding harga rokok, sekali gus mengurangkan kesan kenaikan cukai sebelumnya. Hampir sedekad kemudian, cukai kekal tidak berubah, namun usaha mengurangkan kadar merokok masih diteruskan melalui pelbagai inisiatif.
Antaranya dengan penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang bertujuan meningkatkan penyelarasan dan kawalan penguatkuasaan dalaman. Kerajaan telah memberikan keutamaan kepada peningkatan penguatkuasaan, biarpun begitu, sekiranya tidak digandingkan dengan kenaikan cukai terhadap bahan tembakau, Usaha ini berisiko mengehadkan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam menangani isu penggunaan tembakau.
Kawalan tembakau yang berkesan memerlukan pendekatan daripada pelbagai aspek, terutama pengukuhan penguatkuasaan terhadap perdagangan tembakau haram, langkah-langkah seperti larangan paparan rokok yang bakal dilaksanakan tahun ini, serta kenaikan cukai.
Walau bagaimanapun, terdapat hujah bahwa cukai yang lebih tinggi akan meningkatkan perdagangan haram. Argumentasi ini berbeza dengan kajian oleh Universiti Putra Malaysia bahawa cukai tembakau yang lebih tinggi terbukti sebagai alat berkesan dalam mengurangkan kadar merokok tanpa memberi kesan ketara kepada perdagangan haram di samping meningkatkan hasil kerajaan. Realitinya, penguatkuasaan yang lemah adalah faktor utama yang menyumbang kepada perdagangan rokok haram, bukan kenaikan cukai.
Sama seperti laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai manfaat ekonomi dan kesihatan daripada cukai tembakau menekankan bahawa cukai tembakau yang lebih tinggi dapat mengurangkan penggunaan tembakau sepertimana di Costa Rica, Finland, dan Filipina telah berjaya mengenakan cukai yang lebih tinggi untuk mengurangkan penggunaan tembakau serta membiayai inisiatif kesihatan.
Costa Rica memperuntukkan 100% hasil cukai eksais tembakau kepada aktiviti kawalan tembakau dan program kesihatan. Filipina memperkenalkan undang-undang Cukai Dosa (Sin Tax) pada 2013 dan menaikkan cukai sebanyak 340% untuk membiayai program insurans kesihatan sejagat, membolehkan kerajaan menanggung insurans kesihatan premium bagi 14.7 juta rakyat miskin. Contoh-contoh ini membuktikan bahawa cukai tembakau yang lebih tinggi mampu membendung tabiat merokok serta membiayai inisiatif kesihatan awam.
Lebih daripada 27,200 kematian di Malaysia setiap tahun dikaitkan dengan penggunaan tembakau, Malaysia tidak boleh terus menunda dan harus segera mempertimbangkan kenaikan cukai tembakau sesuai dengan piawaian global agar selaras dengan usaha kerajaan dalam menangani penggunaan tembakau dan perdagangan rokok haram.
Melalui peningkatan cukai tembakau, Malaysia mampu melindungi kesihatan awam, mengurangkan kadar merokok, dan menjana hasil yang disalurkan kepada program kesihatan mampu memberi kesan kepada rakyat. Ini adalah masa yang terbaik untuk bertindak.
Social and Economic Research Initiative (SERI) sedang melaksanakan projek penyelidikan berkaitan kelemahan dalam kawalan tembakau serta cadangan menanganinya, khususnya dalam aspek percukaian dan penguatkuasaan terhadap perdagangan haram. Inisiatif penyelidikan SERI bertujuan menyediakan penyelesaian dasar teknikal kepada pembuat dasar bagi memastikan percukaian tembakau yang berkesan, seterusnya mengurangkan kadar merokok dan memaksimumkan hasil cukai.